Ayam Masak Sambal & Labu Masak Lemak

Labels:

0


Assalamulaikum wbt...

Terasa teringin sungguh makan masak lemak labu. Tambahan pula semalam ke pasar dan berjaya membeli 1 kg labu. Cuma tidak pasti hendak dimakan bersama apa. Cadangnya mahu sambal telur sahaja tetapi Cik Wani cakap ada ayam lagi di dalam peti. Korek-korek maka terjumpalah ayam. Menu bertukar sambal telur bertukar kepada sambal ayam. Jom semak resepi. Ini resepi mak ditambah sedikit proses campak mencampak (macam biasa)..hehehe...

Ayam Masak Sambal


Bahan-bahan
A. Untuk ayam goreng
1. Separuh ayam (dipotong 8 dan dicuci)
2. 1 sudu teh serbuk kunyit
3. 1 sudu teh serbuk kari ayam/daging
4. 1 sudu teh halia yang siap ditumbuk
5. Sedikit origano *ini optional sahaja*

B. Bahan menumis
1. 2ulas bawang besar (1 biji dikisar halus dan 1 biji lagi dipotong bulat-bulat untuk hiasan)
2. 3 sudu besar lada kering yang telah siap dikisar (tambah jika mahu lebih pedas)
3. 3/4 ulas bawang putih
4. 1 batang serai (diketuk hujungnya)
5. 3 sudu santan pekat
6. 3 sudu besar sos cili
7. 2 sudu besar sos tomato
8. Sedikit garam, gula dan pati ayam
9. 1 cawan kecil air masak

Cara memasak.
1. Gaul ayam bersama bahan-bahan untuk menggoreng dan perap selama sekurang-kurangnya 30 minit.
2. Panaskan minyak dan masak ayam. Jangan masak terlalu garing.
3. Keluarkan sedikit minyak dan tumis bawang putih sehingga naik bau.
4. Kemudian tumis bawang besar sehingga naik bau dan masukkan lada kering yang telah dikisar..
5. Masak sehingga lada betul-betul masak (pecah minyak) dan kemudian masukkan sos cili dan sos tomato.. Kacau selama 5 minit.
6. Masukkan air dan biar selama 10-15 minit (atau sehingga air sedikit kering)
7. Masukkan santan dan kacau sehingga rata. Jatuhkan daun serai.
8. Apabila bau serai telah naik, masukkan ayam dan ratakan sambal. Masukkan garam, gula dan pati ayam.
9. Masak selama 5 minit agak rasa sebati. Kemudian jatuhkan bawang yang telah dihiris bulat-bulat tadi.
10. Masak selama 5minit (jangan sampai bawang layu) dan tutup api. Siap sedia untuk dimakan



Jika Cik Kz masak sambal ayam pasti ada tambahan yang Cik Kz lakukan. Cik Kz suka menambah kentang yang telah digoreng. Rasa enak juga disamping boleh menjadikan lauk itu lebih banyak. Jika ikut resepi mak, serai tidak perlu ditambah. Penggunaan bawang putih juga tidak perlu. Bawang merah yang dikisar perlu lebih banyak (lebih kurang 2 biji). Air asam perlu ditambah. Tetapi Cik Kz mengolahnya mengikut kesukaan Cik Kz (inovasi lah kononnyer). hehehe..


Labu Masak Lemak


Bahan-bahan
1. 1 kg labu (atau kurang, terpulang)
2. 1 biji bawang besar (ditumbuk halus)
3. 1 kotak santan
4. 1 sudu teh serbuk kunyit
5. Sedikit ikan bilis -(ditumbuk halus)
6. 1 sudu teh garam
7. 1/2 sudu ten pati ayam (saya kurangkan lagi)

Cara memasak
1. Bersihkan labu dan potong ke saiz yang kecil, berbentuk kuib. Masukkan ke dalam periuk
2. Masukkan bawang yang telah siap ditumbuk, serbuk kunyit dan juga santan (santan ini cairkan sedikit ya)
3. Masak sehingga labu hampir empuk
4. Masukkan ikan bilis dan gaulkan
5. Masukkan garam dan pati ayam. Masak sehingga labu benar-benar empuk. Siap untuk dihidang...


Lazimnya sekali makan memang hampir 1 kg labu akan digunakan. Itupun memang licin dan kadang-kadang tidak cukup (kami semua suka makan sayur yer!). Resepi ini tiada pengolahan kerana takut keaslian rasanya hilang. Kali pertama masak resepi ini di rumah semasa pulang cuti dahulu. Memang antara makanan kegemaran.

Aduh tiba-tiba mahu makan ikan patin. Hujung minggu harus ke pasar. Ikan patin masak tempoyak..nyum-nyum

Baiklah, masa untuk menelaah pelajaran. Sudah cukup masa ber'blog'. Time to study. Esok kertas 2 Community Medicine. Harapnya tiada kepelikan agar keanehan tidak terjadi lagi..hehehe

Till then, wassalam...

0 Response to "Ayam Masak Sambal & Labu Masak Lemak"

Post a Comment